Ramadhan Jalan Menuju Taqwa

"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa." - Al-Baqarah ayat 183

Bulan Ramadhan yang suci datang lagi, maka marilah kita bersungguh-sungguh mengambil peluang keemasan ini untuk membaiki dan meningkatkan prestasi akhlak supaya kita dapat melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan puasa kita kali ini menjadikan kita insan yang bertaqwa.

Setiap tahun Allah SWT memberikan kesempatan yang istimewa kepada hamba-hamba-Nya. Kesempatan itu hádala berkaitan fadhilat yang banyak dalam bulan suci Ramadhan. Sepanjang bulan Ramadhan secara fitrahnya hati akan melonjak, roh akan bersinar dan bercahaya serta manusia siap untuk menjadi insan yang bertaqwa.

Selari dengan keberkatan bulan Ramadhan ini, maka hari-hari dalam bulan Ramadhan adalah hari yang paling utama, malam-malamnya adalah malam yang paling utama dan setiap minit dan jam adalah peluang-peluang yang paling utama untuk menyucikan diri dan mendapat pahala daripada Allah SWT.

Untuk mencapai puasa Ramadhan yang berkualiti dan membentuk insan bertaqwa bukanlah perkara yang mudah, kita menghadapi cabaran dan ujian yang hebat. Menurut ulama’ ada tiga tingkatan ataupun martabat puasa. Martabat pertama ialah Puasa Umum, iaitu puasa sekadar menahan diri dari tidak makan dan minum tanpa menjaga adab-adab berpuasa. Martabat kedua pula ialah puasa yang berusaha menghindari dosa iaitu menjaga segala pancaindera daripada melakukan dosa selain dari menahan diri dari makan dan minum. Manakala martabat ketiga puasa pula adalah menghindarkan diri dari segala hal yang melupakan dan membuat hati lalai dari mengingati Allah. Ini adalah martabat tertinggi puasa. Sebagai tanda umat Islam yang hebat dan cemerlang, martabat puasa yang ketiga hendaklah menjadi matlamat kita. Oleh itu, puasa yang berkualiti tinggi menjadi titik tolak kepada kita untuk membuat perubahan dan membina kejayaan.

Sabda Rasulullah SAW dalam hadith riwayat Imam al-Bukhari dari Abu Hurairah RA yang bermaksud:
"Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala nescaya diampunkan baginya segala dosa yang terdahulu."

Sama ada kita sedar atau tidak, berpuasa telah menunjukkan betapa Islam dan mereka yang bertaqwa sentiasa menyeru umatnya supaya bersyukur atas segala nikmat pemberian Allah SWT. Pada masa sama, kita perlu insaf bahawa dalam limpahan nikmat yang kita perolehi siang dan malam itu, terselit hak-hak golongan tertentu seperti golongan fakir miskin dan dhaif.

Hakikatnya puasa dapat melahirkan umat yang bertaqwa itu mempunyai ciri-ciri umat yang kuat, hebat, produktif, cemerlang dan berdaya saing. Justeru, di bulan Ramadhan al-Mubarak ini, sewajarnya kita merebut peluang ini untuk memastikan ketaqwaan kita terus meningkat dan mengelak diri dari binasa dalam perkara-perkara yang tidak berfaedah dan dosa.

Puasa Ramadhan adalah jalan menuju taqwa. Selari dengan matlamat ini marilah kita sama-sama menyempurnakan keimanan dan meningkatkan ketaqwaan dengan melakukan nilai tambah seperti berikut:

Bersedialah kita untuk memasuki bulan yang mulia ini dengan penuh rasa gembira. Penuh harapan untuk mendapat keampunan dan keredhaan-Nya.

"Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan Dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan." - An-Nahl ayat 97

Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-64

Sukatan Pelajaran Baru Sekolah Agama Kerajaan Johor

Sukatan Pelajaran Baru Sekolah Agama Kerajaan Johor - Kurikulum Baru Sekolah Agama (KBSA) 2008

Sejarah perubahan Kurikulum Sekolah Agama Kerajaan Johor bermula pada tahun 1994 di mana Kerajaan Negeri pada ketika itu telah memutuskan agar tahap umur pelajar Sekolah Agama Kerajaan Johor diubah daripada tahap umur 9 tahun untuk kemasukkan ke Darjah 1 kepada tahap umur 7 tahun sebagaimana yang diamalkan di sekolah-sekolah kebangsaan Kementerian Pelajaran Malaysia.

Sehubungan dengan itu, Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Johor melalui Jawatankuasa Penyemak Kitab Sekolah Agama Negeri Johor telah membuat semakan semula Sukatan Pelajaran Sekolah Agama Kerajaan Johor yang sekian lama digunakan agar ianya bersesuaian dengan tahap umur murid Sekolah Agama yang akan memulakan Darjah 1 pada usia 7 tahun. Hasilnya, mulai awal tahun 2008 Kurikulum Baru Sekolah Agama (KBSA) 2008 telah diperkenalkan. Dimana pelaksanaan kurikulum tersebut dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

Sebagai Permulaan, pada tahun 2008 semua murid Darjah 1 Sekolah Agama Kerajaan Johor telah mengikuti kurikulum baru. Kitab baru berdasarkan kurikulum KBSA 2008 juga telah digunakan di seluruh Sekolah Agama mulai bulan Mac 2008.

Manakala pada tahun 2009, kurikulum baru KBSA 2008 dilaksanakan pula bagi murid Darjah 2, Darjah 4 dan Darjah 5. Mulai tahun 2010 ini, kurikulum baru KBSA 2008 dilaksanakan pula untuk murid Darjah 3 dan Darjah 6.

Sesungguhnya perubahan kurikulum bagi Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor ini merupakan satu tindakan yang bertujuan meningkatkan tahap pembelajaran serta memastikan semua kanak-kanak yang berusia 7 tahun sudah dapat memulakan persekolahan di Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor sebagaimana yang dilakukan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia. Implikasi kewangan yang cukup besar terpaksa ditanggung oleh pihak Kerajaan Negeri di dalam meningkatkan kemudahan infrastruktur seperti bilik darjah dan bangunan tambahan sekolah serta bilangan guru bagi menjayakan hasrat murni ini.

Namun tidak dinafikan bahawa perubahan ini juga telah melibatkan perubahan kepada penggunaan kitab-kitab baru bagi memenuhi KBSA 2008 yang terpaksa ditanggung oleh pihak ibubapa. Walaubagaimanapun Kerajaan Negeri Johor melalui Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) telah memperuntukkan sejumlah RM 2.0 juta untuk membiayai Skim Pinjaman Kitab (SPK) Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor. Di mana melalui SPK ini para pelajar dari golongan miskin akan diberi pinjaman kitab setiap tahun.

Sesungguhnya perubahan kurikulum yang dilakukan ini diharapkan isi kandungannya dapat difahami dengan lebih mudah sesuai dengan peringkat umur pelajar.

SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1431


Memantap Ukhuwah
Memperkasa Ummah

"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)..." Ali Imran ayat 110

Majlis sambutan Maal Hijrah yang diadakan setiap tahun ini adalah bersempena untuk mengingati dan menghayati pengorbanan Rasulullah S.A.W dan para sahabat dalam peristiwa Hijrah dari Mekah ke Madinah. Hijrah adalah satu peristiwa yang penting dalam sejarah Islam. Dalam konteks sirah Rasulullah S.A.W, hijrah membolehkan pengaturan strategi yang lebih berkesan bagi umat Islam menggembleng usaha dan mengukuhkan kekuatan untuk menentang puak anti Islam di Mekah.

Justeru itu bagi menghayati peristiwa hijrah ini bukanlah bermaksud sekadar kita berhijrah dari Mekah ke Madinah atau dari satu tempat ke tempat yang lain, tetapi adalah secara menjiwai perjuangan dan kebijaksanaan baginda untuk menjana dan menobatkan Islam di mercu dunia demi kesejahteraan umat.

Dari peristiwa-peristiwa yang telah berlaku pada peristiwa hijrah ini, nyatalah bahawa hijrah bukan hanya satu rentetan peristiwa tidak sengaja atau kebetulan yang terjadi dalam kehidupan Baginda Rasulullah SAW. Sebaliknya perjalanan hijrah penuh dengan segala liku dan simpang-siurnya yang jelas mengandungi hikmah budaya kerja yang sistematik.

Sesuatu cita-cita tidak mungkin dapat dijayakan cuma dengan doa dan penyerahan semata-mata, tetapi harus dilaksanakan dengan perencanaan yang cukup rapi. Yang dimaksudkan dengan perencanaan ialah suatu aliran menentukan matlamat, menggariskan kaedah-kaedah dan tindakan-tindakan untuk mencapai matlamat tersebut. Sementara yang dimaksudkan dengan perancangan pula ialah penggabungan dan penyepaduan pelbagai sumber yang dimiliki untuk menghadapi persekitaran dengan sebaik-baiknya.

Tema Maal Hijrah tahun ini ialah "Memantap Ukhuwah Memperkasa Ummah". Tema ini sebenarnya bersesuaian dengan saranan Allah SWT agar umat-Nya menjadi ummah yang bersatu. Sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 110 sepertimana di atas. Ummah yang perkasa bukan sahaja perlu hebat dalam satu sudut sahaja tetapi seharusnya perlu memiliki kehebatan dalam banyak perkara seperti kemahiran modal insannya yang tinggi, kemuliaan akhlak, patuh pada undang-undang dan peraturan, kukuh ekonominya, taraf sosial dan peradaban hidupnya teratur dan berjalan dengan sempurna, hidup penuh harmoni dan bersatu padu serta yang paling penting, kehidupan ummah iatu dirahmati, diredhai dan diberkati oleh Allah SWT.

Sempena sambutan peristiwa Hijrah yang bersejarah ini, marilah kita bersama-sama memperkuatkan perpaduan dan menggembleng tenaga menjalankan kewajipan. Sama-samalah kita berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wataala semoga perjuangan kita akan sentiasa diberkati dan dilindungiNya.


Selamat Menyambut Maal Hijrah 1431H
Ingatan Tulus Ikhlas Dari
Y.B DATO’ HAJI ZAINAL ABIDIN B HAJI OSMAN
ADUN KAWASAN ENDAU / EXCO AGAMA JOHOR

Sambutan Aidil Fitri 2009 DUN Endau Meriah

Mersing – Sambutan Aidil Fitri DUN Endau yang telah diadakan pada 3hb Okt yang lalu disambut dengan penuh meriah. Jumlah kehadiran yang dianggarkan 4000 orang telah membanjiri perkarangan Pusat Khidmat ADUN Endau di Kampung Sri Lalang, Mersing. Pemimpin dari pelbagai lapisan peringkat serta rakyat dari pelbagai kaum mula hadir ke majlis tersebut mulai jam 10.00 pagi lagi. Ucapan aluan telah disampaikan oleh Y.B Dato’ Haji Zainal Abidin b Haji Osman, ADUN Kawasan Endau merangkap EXCO Agama Johor. Di mana Yang Berhormat Dato’ serta ahli keluarga dan kakitangannya mengambil kesempatan di majlis berkenaan untuk memohon kemaafan di atas kelemahan dan kekurangan layanan pada hari tersebut.

Beliau memaklumkan bahawa sambutan yang diadakan pada hari tersebut adalah khusus diadakan untuk rakyat yang berada di kawasan DUN Endau dan amnya untuk masyarakat di daerah Mersing yang telah memberi sokongan kepada beliau selama ini. Diharapkan dengan adanya majlis seumpama ini akan dapat mengeratkan lagi hubungan baik yang telah sedia ada di antara beliau dengan para pengundi sekelian.

Beliau juga mengambil kesempatan menyeru kepada para hadirin agar mendaftar sebagai ahli 1endau.net sebagai peluang untuk berinteraksi dengan beliau di samping boleh menyampaikan apa-apa jua aduan yang berkenaan dengan pembangunan di dalam kawasan DUN Endau.

Seperti tahun-tahun yang lepas, selain jamuan hari raya majlis turut diserikan dengan alunan Selawat yang disampaikan oleh Kumpulan Marhaban dari setiap kampong dalam DUN Endau Pada tahun ini seramai 35 buah kumpulan Marhaban yang dianggotai oleh 10 orang setiap kumpulan telah memperdengarkan alunan Selawat Nabi dengan pelbagai rentak. Beberapa kumpulan Marhaban dari Sekolah-Sekolah Agama dalam daerah Mersing turut mengambil bahagian pada tahun ini.

Sumbangan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir juga telah disampaikan oleh Yang Berbahagia Datin Noor Izzah bt Mansor, saudara Azahar b Zainal Abidin isteri dan anak Yang Berhormat Dato’. Majlis berakhir pada jam 5.30 petang. Akhir sekali ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat di dalam menjayakan majlis sambutan ini yang terdiri daripada para penyumbang, petugas-petugas dan juga para hadirin sekelian.

Aidil Fitri Disambut Meriah;
Berbagai Kaum Datang Berziarah;
Bersatu Kita Tingkatkan Ukhwah;
1Malaysia Dijadikan Wadah.

Terima kasih diatas sokongan anda...
Teruskan melayari laman 1endau.net untuk info-info terkini.
Mendaftarlah sebagai ahli dan berikan komen serta cadangan anda untuk kebaikan bersama.

Salam Aidilfitri 2009

Saya sekeluarga ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan salam Aidil Fitri 2009 maaf zahir & batin kepada seluruh warga DUN Endau khasnya dan masyarakat di daerah Mersing amnya termasuklah kepada mereka yang berada di luar dan akan pulang ke kampung masing-masing. Semoga sambutan hari raya pada kali ini merupakan suatu kemenangan buat kita semua yang telah menyempurnakan ibadah puasa di sepanjang Ramadhan yang baru lalu. Marilah kita meraikan sambutan Aidil Fitri pada tahun ini dengan penuh rasa bersyukur kerana telah dikurniakan kesempatan menempuh bulan Ramadhan yang penuh barakah. Diharapkan kehidupan kita selepas ini yang dimulai dengan sambutan Syawal ini merupakan suatu penghidupan yang serba baru hasil daripada keberkatan bulan Ramadhan yang telah lalu.

Marilah kita bina kehidupan baru kita dengan meningkatkan rasa kasih sayang di kalangan ahli keluarga kita terlebih dahulu. Sebuah keluarga yang harmoni akan membentuk sebuah masyarakat yang aman damai dan bersatu padu. Ini kerana untuk membina sebuah masyarakat unggul ianya memerlukan rasa bersama dan kerjasama di kalangan kita. Lihatlah di sekeliling kita kalau-kalau masih ada mereka yang memerlukan bantuan. Janganlah dibiarkan mereka terus terabai, sebaliknya carilah jalan untuk membantu. Kalau kita tidak berupaya untuk membantu, maka salurkan maklumat itu kepada ketua dan pemimpin kita agar saudara kita itu tadi dapat dibela.

Di kesempatan ini juga, saya dengan penuh rasa tanggungjawab ingin menyeru kepada seluruh warga DUN Endau khususnya agar sampaikan kepada saya apa jua maklumat, aduan mahupun cadangan anda kepada saya untuk saya mengusahakan apa jua bentuk bantuan kepada saudara-saudara sekelian yang sentiasa bersama menyokong saya sebagai wakil rakyat kawasan Endau ini.

Sempena kita menyambut Aidil Fitri yang mulia ini saya ingin merakamkan jutaan kemaafan di atas segala bentuk kelemahan dan kealfaan saya di dalam memberi khidmat kepada saudara-saudara sekelian. Saya berharap Allah SWT merahmati saya untuk saya melipatgandakan lagi usaha memberi khidmat kepada anda sekelian.


Marilah kita menyambut Aidil Fitri 2009 ini sebagai warga yang penuh tanggungjawab kepada negara yang tercinta ini.

Berhati-hati di jalanraya bagi anda yang akan pulang dari perantauan menuju kampung yang tercinta.

Salam 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan

Semarak Ramadhan 2009

Anak-anak Yatim Dirai
Sumbangan

Sebahagian dari lebih 200 orang anak-anak yatim di DUN Endau yang telah menerima sumbangan dari YB Dato. dalam Majlis Semarak Ramadhan Peringkat DUN Endau yang bertempat di PPK Mersing Utara, Endau pada 5 Sept 2009.

1endau.net bagi pihak masyarakat DUN Endau mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak syarikat Jakel Trading diatas keperihatinan serta sumbangan yang telah diberikan.

Jom Layari www.1endau.net

Walaupun baru saja beroperasi, laman rasmi YB Dato’ www.1endau.net telah menerima hampir 1000 orang pengunjung setakat ini.Sebagai langkah memperluaskan lagi hebahan, satu majlis promosi tidak rasmi memasang pelakat 1endau.net pada kenderaan telah diadakan pada 5 Sept 2009 yang lalu di Endau sempena majlis Semarak Ramadhan DUN Endau 2009. Laman web ini dibangunkan untuk memberi peluang kepada penduduk di dalam kawasan DUN Endau untuk berinteraksi secara langsung dengan Yang Berhormat serta berpeluang mengikuti aktiviti-aktiviti Yang Berhormat di kawasan.